Cinta seringkali menjadi sesuatu yang pedih, adakalanya jijik dan mengecewakan. Ramai yang kecewa kerana cinta, lalu berderetanlah kubur cinta sepanjang zaman. Lihatlah nisan percintaan yang terukir seperti Romeo dan Juliet, Uda dan Dara, Laila dan Majnun dan seterusnya. Perasaan fitrah ini sememangnya mengundang perasaan ingin mencintai dan dicintai sesama insan. Hati memerlukan cinta sama seperti jasad perlukan makanan. Anehnya apa yang kita rasai tidak semestinya kita fahami. Lalu apakah sebenarnya cinta itu ???
Definasi : Cinta adalah perasaan sangat sayang yang terpamir melalui tindakan atau perbuatan. Cinta sebenar perlu dibuktikan, bukan sekadar pendaman rasa atau luahan kata. Namun praktikal "Love Is A Verb" ini sangat terbatas bila hubungan cinta dijalinkan sebelum perkahwinan. Jika dicuba juga mempraktikkanya besar kemungkinan cinta itu membawa kepada perbuatan terlanjur lalu melanggar hukum cinta dari Allah. Cinta dan Penciptanya : Untuk mengetahui segala-galanya tentang cinta, manusia perlu merujuk kepada Pencipta cinta itu sendiri, yakni Allah s.w.t. Tuhan mencipta cinta maka Dialah yang Maha Mengetahui sifat dan rahsianya. Cinta itu indah kerana dicipta oleh Yang Maha Indah.
Sabda Rasulullah s.a.w. "Allah itu indah dan cintakan keindahan" (mafhum hadis).
bukan sahaja indah, cinta yang diciptakan Allah ini bertujuan untuk menyelamatkan, mententeramkan dan membahagiakan manusia. Tidak kira sama ada dalam komunikasi antara manusia dengan Tuhan atau sesama manusia. Cinta adalah perantaraannya.
Tegasnya cinta mempunyai fungsi dan natijah yang sangat besar dalam kehidupan. Disamping itu juga, Allah mengurniakan hukum cinta yang mesti dipatuhi demi mencapai maksud penciptanya. Dengan "hukum" itu, Allah mengatur agar cinta sentiasa selamat dan menyelamatkan. Begitulah cinta dalam Islam, ia mempunyai kaedah dan peraturan demi kemurnian dan kesuciannya. Selagi manusia berpegang kepada peraturan ini, selagi itulah cinta terpelihara dalam sifat fitrahnya yang asal, yakni murni, indah dan mententeramkan. Sebaliknya, jika peraturan ini dilanggari, cinta akan bertukar menjadi kotor, jijik dan menyeksakan.
Peraturan : Untuk menjamin keindahan percintaan itu, maka peraturan dan hukum Allah perlu dijaga.
Peraturan pertama yang perlu dipatuhi ialah "cinta itu mesti dibina atas dasar cinta Allah". Cintailah sesiapa pun tetapi mestilah kerana Allah. Namun, meletakkan cinta hanya kerana Allah tidaklah menghalang meletakkan cinta kepada yang lain. Apa tandanya kita mencintai seseorang atas dasar "cinta Allah" ??
Pertama, mestilah dipastikan kecintaan itu tidak melebihi cinta kepada Allah. Kita akan sentiasa mendahulukan kehendak kecintaan utama kita (Allah) daripada kehendak "kecintaan-kecintaan" kita yang lain.
Kedua, cinta itu mestilah tidak melanggar batas-batas syariat. Jangan cinta menyebabkan kita berdosa kerana tidak melaksanakan apa yang diperintahNYA dan melanggar apa yang dilarangNYA.
Apabila dua syarat ini dilanggar, maka cinta tidak akan murni dan berkekalan lagi. Inilah punca patahnya cinta selepas perkahwinan. Tetapi sekiranya dua hukum cinta ini dipatuhi maka di sinilah pula letaknya keindahan cinta selepas perkahwinan. (Terus Ikuti Fokus Cinta II, III & IV)
<^Fokus Cinta II^>
Merubah CINTA Budaya Bukan mudah hendak mengubah persepsi kita tentang bercinta. Sekian lama kita membentuk satu tanggapan dalam fikiran bahawa cinta adalah pra-syarat perkahwinan. Bahawa perkahwinan itu mesti didahului oleh hubungan cinta. Ada "dating", hubungan telefon dan lain-lain. Bila dikatakan ada keindahan cinta selepas perkahwinan, kita menganggap janggal kerana ia berbeza dari persepsi kita tentang cinta. Oleh itu bermacam-macam persoalan timbul. Bolehkah bahagia bila berkahwin tidak didahului hubungan cinta? Bolehkah serasi? Dan bermacam persoalan lagi. Mungkin kerana itulah agaknya ramai yang menganggap kehangatan cinta akan mendingin selepas berkahwin lalu mereka ingin menikmati kehangatan itu sepuas-puasnya sebelum perkahwinan. Dan ada yang mengambil masa yang cukup panjang untuk bercinta sebelum perkahwinan, kononnya mencari keserasian agar cinta terus berkekalan setelah perkahwinan.
`Cinta Sebelum Perkahwinan`
Bercinta sebelum kahwin mempunyai berbagai risiko yang bukan sekadar zina mata dan hati malah zina yang lebih besar yang boleh mengganggu jiwa sebab cinta sebelum kahwin ini adalah bersalut nafsu dan syaitan. Dalam keadaan sebegini bagaimana mungkin kita memiliki khusyuk di dalam sembahyang kalau diri diselaputi iblis dan syaitan?? Apabila hati kita diisi oleh cinta manusia dan nafsu, tiada tempat untuk cinta Allah. Oleh yang demikian Islam amat menekankan kawalan terhadap hati agar tidak mudah terpesong meletakan neraca perasaan cinta kepada yang bukan hak melalui amalan seperti doa dan sebagainya. Antara doa yang patut diamalkan :
" Ya Allah, Kurniailah aku cinta-Mu dan cinta orang yang cinta kepada-Mu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepada-Mu dan jadikan cinta terhadap Engkau (Ya Allah) terlebih aku cintai daripada air yang sejuk"
Doa ini wajar diamalkan supaya kita faham erti cinta yang menjadikan kita cinta kepada Allah atau menjadikan cinta kepada orang yang hampir dengan Allah. Jika seseorang itu cinta kepada manusia, ia mestilah cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah. Oleh itu jika kita sudah "fall in love", pastikan apakah cinta itu kerana Allah atau kerana nafsu. Kalau cinta itu kerana Allah, kita akan bertambah khusyuk di dalam sembahyang dan bertambah ibadah. Tetapi kalau cinta itu semakin menambahkan maksiat, bermakna cinta itu didorong oleh nafsu.
Namun begitu adakala cinta itu datang tanpa dipinta. Atau dalam erti kata yang lain "cinta pandang pertama" yang sememangnya tidak diundang yang boleh menganggu minda dan imaginasi. Dalam keadaan yang sedemikian kita amat digalakkan untuk mengamalkan doa tadi. Kedua, mengerjakan solat Istikharah dan berdoa :
" Ya Allah, aku suka orang ini, kalaulah dia ini betul-betul pilihan yang tepat untuk aku dunia akhirat, pertemukanlah jodoh kami. Jadikanlah dia isteri (atau suami) ku. Kalau tidak baik, Ya Allah, elakkanlah"
"if you love someone" mintalah kepada Allah yang mencipta diri kita. Ini kerana orang yang kita cintai itu juga adalah makhluk Allah. Allah berhak untuk menjadikan makhlukNya suka atau tidak.
Silap kebanyakkan kita sekarang ini, terus direct kepada empunya diri. Persoalan yang penting sekarang ialah apakah yang diperolehi oleh mereka yang bercinta sebelum kahwin apabila mereka sudah saling mengetahui segala perkara mengenai diri masing-masing. Sudah tidak ada nikmat selepas kahwin. Apatah lagi kalau sudah terlanjur, kemudian kahwin pula dengan orang lain dan ternyata suami itu cinta kepadanya. Individu akan menyesal kerana `she got nothing to offer` kepada suami yang betul-betul mencintainya. Ini akan melahirkan perasaan dendam dan bersalah. Jadi eloklah dijagai perhubungan kita.
`Cinta Selepas Perkahwinan`
Bercinta selepas kahwin adalah merupakan sunnah Rasul. Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai yang berkahwin atas pilihan ibubapa dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Para ibubapa ketika itu memilih calon menantu mereka berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui sabdanya :
" Dikahwini wanita itu atas empat perkara : harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan". (mafhum hadis)
Bukan itu sahaja, malah trend masyarakat ketika itu juga sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi. Jadi perkahwinan melalui orang perantaraan (match maker) yang dipercayai kesolehannya juga mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu. Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang boleh dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya, seseorang dibolehkan melihat calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang pekerjaan, peribadi dan lain-lain latar belakang calon. Ini semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah - sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan maklumat tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan. Tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Marilah kita dekatkan semula keindahan cinta dengan mendekatkan diri kepada Pencipta cinta. Rumahtangga pasti berseri apabila suami isteri sama-sama cintakan Ilahi.
<^Fokus Cinta III^>
CINTA : Antara Runtunan Nafsu Dan Tuntutan Syariat Pada awal kurun ini, masyarakat Melayu Islam telah dikejutkan dengan suatu reformasi baru yang dikemukakan oleh Agus Salem, salah seorang pengasas Syarikat Dagang Islam sekitar tahun 1911. Beliau menyarankan kepada pemuda pemudi yang terdedah dengan benih-benih pergaulan bebas yang diajar oleh penjajah ketika itu supaya bercinta sesudah berumahtangga. Fikiran ini dimahsyurkan lagi ke tengah-tengah masyarakat Melayu Islam oleh Bapa Hamka (HJ Abdul Malik Karamullah).
Selepas itu, masyarakat mula mengkaji apakah yang lebih berkesan sama ada bercinta sebelum berumahtangga ataupun bercinta sesudah berumahtangga. Suatu perkara yang sudah pasti, bercinta dan berkasih sayang adalah suatu yang teramat penting sesudah berumahtangga kerana dua rukun inilah menjadi tiang seri yang paling ampuh dalam pembentukan keluarga.
Persoalannya, adakah bercinta itu penting dan perlu sebelum berumahtangga??.
Jawabnya : perasaan tersebut perlu ada dalam hati kedua-dua bakal suami isteri, tetapi tidaklah membawa kepada wujudnya pergaulan atau melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Syariat Islamiah seperti membuat "dating" dan lain-lain lagi.
`Tanggungjawab`
Bakal suami isteri perlu mengetahui bahawa rumahtangga suatu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama. Ahli falsafah menyatakan bahawa cinta adalah suatu perasaan yang dimiliki oleh semua manusia, laksana getah-getah yang ada di pokok-pokok getah atau madu-madu yang ada di pokok bunga. Maka perasaan ingin menyayangi dan ingin disayangi itu bersebati dalam diri manusia semenjak dia dikeluarkan dari perut ibunya. Pasangnya sukar dibatasi apabila perasaan tersebut melodak di dalam jiwa, surutnya sukar digumbai apabila perasaan dingin menguasai diri dari jiwa manusia yang kecewa terhadapnya.
Secara fitrahnya manusia yang kecewa terhadap cinta akan bermuhasabah terhadap harga dirinya. Kadang-kadang muhasabah itu mengajar bertindak dengan cara yang betul, dan kadang-kadang pula ia menghalakan manusia ke arah yang memusnahkan. Manakala manusia yang dilodaki oleh perasaan tersebut pula akan merasa gembira dan riang sehingga membolehkan dia membuat suatu perubahan yang besar dalam dirinya sama ada ke arah baik atau sebaliknya. Ini bererti alam percintaan adalah suatu jambatan yang mengubah masa depan manusia yang merentasinya. Oleh itu, alam percintaan adalah suatu persediaan untuk mengenali dan memahami erti tanggungjawab. Manusia yang bercinta sentiasa menghadapi tekanan saraf dan perasaan. Sewajarnya manusia yang melalui perkara tersebut belajar menghayati erti pengorbanan. Sekiranya seorang lelaki yang mencintai perempuan tetapi dia tidak sanggup berkorban untuk perempuan tersebut maka cinta yang dilafazkannya adalah palsu dan penuh kepura-puraan, Perempuan yang cerdik tidak boleh mempercayai lelaki yang sebegitu dan demikianlah sebaliknya.
Ahli Hukama` menegaskan : "nilailah harga kasih sayang pasanganmu itu melalui pengorbanannya bukan melalui ungkapan bicaranya".
Lantaran itu kita mendapati realiti kehidupan sentiasa mencatatkan pasangan yang mampu mencapai hakikat kebahagiaan ialah manusia yang berkahwin untuk mendidik, manakala manusia yang berkahwin berdasarkan fantasinya semata-mata seringkali menemui kemusnahan dalam pembentukan rumahtangga. `Ganjaran Dari Allah`
Perkahwinan adalah suatu sunnah dari Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi sebelumnya. Suatu perkara yang perlu dikaji akan hikmah percintaan yang dilakukan oleh Baginda s.a.w ialah Baginda menyarankan kepada bakal-bakal suami untuk mencari gadis-gadis untuk dikahwini tetapi beliau sendiri memperisterikan perempuan-perempuan janda, hanyalah Aisyah r.a seorang sahaja yang masih gadis ketika dikahwini. Hal ini tentulah menggambarkan kepada kita tentang persediaan pengorbanan dan menyempurnakan tanggungjawab yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebelum melalui gerbang perkahwinan. Rasulullah s.a.w telah menerangkan bahawa diantara golongan yang mendapat dua ganjaran pahala ialah seorang yang memerdekakan hambanya lalu mengahwininya.
Al-Mawardi menyebut di dalam kitabnya (peradaban dunia dan agama): adalah baik bagi seseorang mencari pasangannya dengan tujuan menolong dan membantunya, kerana perkara ini akan mematangkannya untuk menjalankan tanggungjawab dan berkorban setelah berumahtangga kelak.
`Fantasi Dan Khayalan`
Sebelum berkahwin manusia seringkali mengkhayalkan belaian-belaian dan pujuk rayu pasangannya, padahal gambaran khayalan itu hanyalah berlaku dalam jarak masa yang singkat berbanding dengan liku-liku perjuangan yang terpaksa ditempuhinya. Perkara ini adalah lumrah semulajadi semua manusia. Tanpa kawalan agama ianya akan menjerumuskan manusia melakukan kerja-kerja keji sama ada dihadapan khalayak ramai atau ketika berseorangan. Manusia yang tiada matlamat hidup seperti golongan barat, sebagaimana yang ditonjolkan dalam media massa akan cuba memanjangkan tempoh fantasi ini sekalipun ianya bukanlah suatu yang boleh berpijak di alam nyata. Lantaran itu kehidupan mereka akan menjadi musnah dan kebahagiaan yang dikhayalkan itu bukan dapat dicapai sekali-kali. Masyarakat Islam sepatutnya mestilah mempelajari panduan-panduan hidup yang kuat agar dapat membersihkan diri daripada anasir-anasir yang boleh memusnahkan diri. Sewajarnya masyarakat kita menjadikan perjalanan-perjalanan untuk bekas-bekas bohsia sebagai pengajaran yang disempadani, bukannya untuk melonjak-lonjakkan nafsu syahwat yang menghancurkan pula masa depan mereka sendiri.
Kesimpulannya, untuk mengharungi arus kehidupan yang sememangnya dipagari dengan pelbagai ujian, kita sebagai hambaNya perlulah kembali bermuhasabah dan terus berusaha pada setiap ketika agar kita tidak tergolong dikalangan orang-orang yang cintakan dunia lupakan akhirat, cintakan kehidupan bencikan kematian.
Sememangnya ketiga-tiga musuh utama kita (Syaitan, Nafsu dan Dunia) tidak pernah dan tidak akan membiarkan kita pergi begitu sahaja meninggalkan mereka, sebaliknya ketiga-tiga mereka ini akan terus berusaha untuk lebih gigih bagi terus menjerumuskan kita ke arah kesesatan. Jadi, marilah sama-sama kita berhasrat untuk memerangi ketiga-tiga musuh ini dengan tindakan bijak bermula dari saat ini.
Berikut dihuraikan serba ringkas untuk perkongsian bersama :
1. Iblis/Syaitan : sememangnya mereka ini merupakan musuh kita dunia akhirat dan mereka telah pun berazam dan bersumpah didepan Allah untuk menyesatkan kesemua golongan manusia. Hasilnya skrg, kita dapat lihat sendiri keadaan yang berlaku diserata dunia bahkan dinegara kita sendiri bagaimana manusia semakin hilang norma2 kemanusiaan dan seumpamanya. Yang menambah parahkan lagi ialah kita tahu bahwa mereka ini adalah musuh kita yg sebenar-benarnya tetapi kita tidak pernah berusaha untuk menentangnya bahkan kita semakin lalai dengan pujukan-pujukan mereka hingga kita sendiri semakin hari semakin rosak dengan kehidupan kita. Jadi, antara punca-punca utama untuk kita memiliki keimanan yang jitu kepada Allah s.w.t, kecintaan yang utuh serta kerinduan yang tidak berbelah bagi kepadaNya ialah dengan memerangi pujukan-pujukan iblis/syaitan selama-lamanya.
Perlu di ingat! kalaupun kita telah berjaya mengatasi halangan yang pertama ini tidak semestinya kita akan terus berjaya memiliki iman/cinta yang perfect, sebabnya masih ada dua halangan sesudahnya (nafsu dan dunia). Contohnya kita lihat pada bulan ramadhan, semua iblis/syaitan akan dikurung oleh Allah tetapi dalam masa yang sama masih ada orang-orang Islam yang melakukan maksiat yang didorong pula oleh nafsu dan dunia. Jadi sama-samalah kita berfikir dan mencari jalan terbaik untuk memerangi dengan sepenuh kekuatan halangan yang pertama ini. Selalulah merangka lalu mengamalkan semua amalan-amalan kita zahir dan batin menuju kearah marhdatillah (keredhaan Allah) sepanjang masa.
2. Nafsu : merupakan halangan yang kalaupun tidak sehebat halangan yang pertama tadi ianya hampir-hampir menyamainya. Ana ceritakan secara ringkas mengenai nafsu : Ada satu riwayat mengisahkan bahawa setelah Allah jadikan nafsu lalu Allah soal dia (nafsu) siapakah engkau wahai nafsu? lalu jawabnya : aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau...lantas Allah rejam dan kurung dia di dalam neraka yg paling panas selama beribu tahun, kemudian diangkat semula, dan ditanya lagi, siapakah engkau wahai nafsu? Dijawabnya seperti jawapan yang pertama tadi. Kemudian Allah kurung pula dia di tempat yang paling sejuk selama beribu tahun, selepas itu diangkat dan ditanya soalan yang sama, dijawabnya : aku adalah aku ..dan Engkau adalah Engkau....kemudian Allah kurungkan pula dia (nafsu) disatu tempat dengan keadaan lapar juga selama beribu tahun, setelah itu diangkat dan disoal dengan soalan yang sama, barulah nafsu menjawab : sesungguhnya aku adalah hamba yg diciptakanMu dan Engkau adalah Tuhanku yang Maha Agong.
Begitulah betapa dasyat dan kerasnya nafsu yang ada pada setiap seorang dari kita. Jadi berdasarkan cerita tadi, jelas kepada kita bahawa cara yang paling mudah untuk menewaskan nafsu kita ialah dengan berlapar (berpuasa) maka dengan cara ini dapat membantu kita untuk menjinakkannya. So, kunci sudah pun ditemui cuma cara untuk membukanya (melaksananya) perlu berhati-hati, sebabnya skrg kita lihat ramai orang yang berpuasa tetapi masih tidak dapat mendidik nafsunya. Contohnya bila dah puasa, time berbuka makan sampai tak mampu siperut untuk menanggungnya dan berbagai lagi yang boleh kita lihat.
Antara punca-puncanya ialah kita berpuasa dengan bersebab, maksud ana ada dikalangan kita yang berpuasa kerana nak diet, ada yg kerana nak hilangkan sakit dan seumpamanya. Maka inilah bahaya bila melakukan satu-satu kerja (amalan) tidak kerana Allah semata-mata, masing-masing melakukan amalan kerana dunia dan seumpamanya maka bertambah degil dan bermaharajalelalah nafsu kita. Jadi, kunci yang setepatnya ialah berpuasa selalu dengan hati yang amat ikhlas untuk mencari keredhaan dan kerahmatan Allah (bukan menginginkan ganjaran). Contohilah keikhlasan seperti Rab`ah Adawiyah yang pernah berdoa "
Ya Allah, sekiranya solatku (amal ibadahku) ini kerana inginkan ganjaran maka aku lebih rela dimasukkan kedalam neraka". (mafhum riwayah).
3. Dunia : halangan yang ketiga ini rasa ana kita semua masing-masing dah tahu sangat, yang dimaksudkan dengan dunia ialah semuanya....... perhiasan, harta, wanita dan berbagai-bagai lagi yang mana setiap satunya adalah cabaran yang cukup berat dan hebat untuk kita mengharunginya. Pernah diriwayatkan dari satu kisah para ahli suffiyah : Allah s.w.t memerintahkan kepada Dunia :
"Wahai Dunia...sekiranya manusia itu menggunakanmu kerana ingin berbakti kepadaKu maka jadilah engkau hamba kepada manusia tersebut, sebaliknya jika dia menggunakanmu kerana kepentingannya maka jadikanlah dia hamba kepadamu."(mahfum riwayah)
Cerita ini bertepatan dengan satu kata-kata yang agak mashyur dikalangan masyarakat kita :
"Jika kamu mengejar dunia, dia akan semakin jauh (lari) meninggalkanmu, sebaliknya jika kamu meninggalkannya maka dia akan datang mencarimu".
Kadangkala kita mampu menjadikan dunia sebagai sumber bekalan di sana kelak seperti jadi orang kaya yang pemurah, memiliki wanita yg solehah (sebagai isteri atau anak) dan sebagainya. Akan tetapi yang selalunya, kita akan ditipu dan tertipu dengan dunia tadi. Sebaiknya kita berusaha untuk tidak memiliki mana-mana sumber dunia yang cepat dan dapat merosakkan kita atau kita lalai dengannya. Jadi bila rasa tak mampu nak jadi orang kaya yang pemurah, kita jangan cuba-cuba untuk menjadi kaya kerana kaya tadi akan merosakkan kita begitulah seterusnya. Ambillah iktibar dari kata-kata Hassan Al-Basri ra. :
"...tanda-tanda Iman ditarik dari hati (ditutup pintu hatinya) ialah Allah akan sibukkan dirinya dengan urusan dunia..."(mafhum riwayah).
Lantas marilah kita bersama membina hubungan cinta makhluk kepada Khaliknya (Pencipta) dengan erti percintaan yang sebenar, Kalau inginkan kebahagiaan carilah cinta yang hakiki kepada Allah terlebih dahulu bukan kepada makhluk, seperti kata hikmah :
"cinta kepada bunga, bunga akan layu, cinta kepada manusia, manusia akan mati, sebaliknya cinta kepada Ilahi kekal abadi"...fikirlah.
2 comments:
fuh~~~
panjang gilek..
xlalu aku nk bace..
hehe..aku pon skip2 jer senanyer..
Post a Comment