Isu Palestin dan Tanggungjawab Akidah
Oleh: Imran bin Selamat al-Malizi
(Perwakilan International Al-Quds Institute di Malaysia)
Emel: imran_almalizi@yahoo.com
Umat Islam diikat dengan ikrar dua kalimah syahadah. Mereka telah pun memeterai satu akuan sumpah yang menuntut seluruh umat Islam yang sama-sama mengucapkan dua kalimah syahadah agar berada dalam satu keterikatan yang mengikat mereka saling bergandingan dan memikul tanggungjawab ketika saudara-saudara Islam ditimpa musibah dan ancaman terhadap nyawa, harta-benda dan maruah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan mereka mengerjakan solat serta memberi zakat. Maka sekiranya mereka melakukan perkara itu, terpeliharalah darah (nyawa) mereka dan harta benda mereka daripadaku kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan mereka adalah atas ketentuan Allah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).
Umat Islam di Palestin adalah saudara-saudara kita yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dengan kemasukan pendatang Yahudi ke bumi Palestin telah menyebabkan sebahagian besar penduduknya menjadi pelarian. Akibat daripada 'pengusiran' ini, angka pelarian sehingga kini telah mencecah lebih 9.5 juta orang. Sementara kematian dan pembunuhan pula masih berlaku hari demi hari. Apakah peranan kita dalam menjalankan tanggungjawab dua kalimah syahadah ini?
Mengimbas perkembangan semenjak awal tahun ini, kita telah menyaksikan sekatan regim Israel terhadap Gaza sehingga menyebabkan wilayah yang mempunyai 1.5 juta penduduk itu terputus hubungan dengan dunia luar selepas semua pintu masuk di sempadan wilayah itu ditutup bermula hari Jumaat, 18 Jan 2008. Semua bahan-bahan mentah, makanan, ubat-ubatan dan apa sahaja telah disekat. Kita juga masih ingat pada 21 Januari, tepat pada jam 8 malam, satu-satunya loji janakuasa tunggal di Gaza terpaksa ditutup kerana keputusan bahan bakar menyebabkan seluruh bandar Gaza bergelap. Beberapa hospital terpaksa menghadapi ancaman kematian para pesakit terutamanya kanak-kanak dan orang-orang tua yang bergantung pada alat-alat bantuan. Sehingga pertengahan bulan Mei lalu, lebih 150 orang telah mati kerana kelaparan dan ketiadaan ubat-ubatan.
Pergerakan HAMAS menyifatkan itu sebagai 'hukuman mati' ke atas penduduk Gaza sebagai balasan kerana mereka memilih pergerakan HAMAS memegang tampuk kerajaan. Ini bagi memberi tekanan supaya kerajaan HAMAS meletakkan kuasa pemerintahan. Namun penduduk Gaza dan rakyat Palestin tetap mendokong pendirian HAMAS yang berikrar akan terus menentang penjajahan dan tidak akan mengiktiraf negara Israel. Akhbar rasmi HAMAS, Shout Filistheen bertarikh 21 Jamadil Awal 1429H melaporkan bahawa Ketua Jabatan Politik HAMAS, Khaled Mesy'al telah menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan tunduk berhadapan dengan tekanan ke atas Gaza, sekatan makanan yang menyebabkan kebuluran, pembunuhan dan permusuhan regim Israel. Kerana bangsa Palestin berpegang teguh dengan hak-hak mereka. Sebarang usaha perundingan dengan Amerika dan Israel akan membawa kerugian. Beliau juga menyatakan bahawa bangsa Palestin tidak sekali kali akan menerima penyamarataan hak bagi menggadaikan tanah air, kota suci al-Quds, para pelarian Palestin dan prinsip-prinsip Palestin. Sebarang usaha menggadaikan prinsip-prinsip ini bagi memenuhi kehendak Amerika dan Israel akan menemui kegagalan. Katanya lagi: "HAMAS dengan kekuatan penentangan rakyat Palestin akan menghapuskan sekatan terhadap Gaza. Sekiranya masyarakat antarabangsa tidak berbuat apa-apa, maka kami akan melakukannya mengikut kehendak kami," tegasnya.
Apakah umat Islam sudah menjalankan tanggungjawab mereka? Mesir yang berjiran juga dilihat gagal memainkan peranan dalam isu ini. Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya telah menyeru kerajaan Mesir supaya mempercepatkan pembukaan laluan Rafah secara rasmi. Semenjak awal krisis ini, al-Jazeera turut melaporkan berlakunya 'pencerobohan' di sempadan yang menyaksikan penduduk Gaza yang terdesak dan kecewa terpaksa melakukan 'tindakan berani' untuk mendapatkan makanan dan bahan api di sempadan Mesir. Apakah yang lebih penting bagi pemerintah Mesir, nilai persaudaraan Islam atau hubungan diplomatik dengan negara haram Israel? Tentang sikap para pemimpin Arab dan umat Islam yang bermuka-muka, berjabat mesra dengan Presiden AS, rukuk serta sujud kepada polisi luarnya, saya ingin menyebut apa yang pernah dinyatakan oleh Syeikh Dr. Muhammed Mahmoud Seyam, mantan Imam dan Khatib Masjid al-Aqsa. Kata beliau: "Saya tidak menganggap mereka itu sebagai sebahagian dari tubuh umat (Islam). Kerana Allah S.W.T telah menegaskan di dalam al-Quran; "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman-teman rapat(mu); sebahagian mereka adalah pelindung bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pelindung (teman rapat), Maka Sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Surah al-Maidah: 51)
Jadi mereka (pemimpin-pemimpin) itu termasuk dalam golongan musuh-musuh dan bukan sebahagian daripada umat ini.
Dalam segala kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Palestin ini, pimpinan HAMAS telah menunjukkan nilai persaudaraan yang sangat tinggi. Pada bulan lalu, apabila Presiden Sudan, Omar al-Bashir diancam oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadapnya berhubung dengan pembunuhan kaum dan jenayah kemanusiaan di wilayah Darfur. Tidak syak lagi, ini satu lagi drama terbitan Rumah Putih. Lalu Khaled Mesy'al mewakili HAMAS dan rakyat Palestin telah memberikan sokongan melalui talian telefon, beliau berkata kepada Presiden Sudan, dengan menjanjikan bahawa HAMAS bersama dengan pemimpin dan rakyat Sudan. Inilah nilai akidah yang tidak dapat dimanipulasikan oleh AS dan Israel. Mereka hanya mampu memperdayakan orang-orang munafik yang memakai topeng Islam. Dalam memahami nilai persaudaraan ini, kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w: "Jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain). Janganlah dia menzaliminya, dan janganlah mengabaikan dia apabila dia memerlukan pertolongan, dan janganlah memperkecilkannya.." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Pada hari ini, umat Islam khususnya bagi negara-negara yang bersempadan telah bersikap zalim terhadap rakyat Palestin apabila mereka memerlukan pembelaan. Malah terdapat golongan dalam masyarakat muslimin yang memperlekeh perjuangan rakyat Palestin dengan mengejek; 'setakat baling batu apa yang dapat?'. Kesemua ini menunjukkan bahawa kita telah jauh dari petunjuk Nabi s.a.w. Marilah kita renungkan sabda Rasulullah s.a.w: "Peumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih-sayang, rasa belas dan ikatan sesama mereka adalah umpama satu jasad, sekiranya satu anggota jasad merasai kesakitan maka yang seluruh jasad juga akan turut merasai sakit." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Adakah kita merasaikan kepedihan dan kesengsaraan rakyat Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan, Kashmir, Somalia, Chehnya, Selatan Thailand, Filipina dan seluruh dunia Islam? Sekiranya masih tidak merasai, maka sekarang adalah masa untuk muhasabah iman dalam diri. Sekiranya kita merasai, maka sekarang juga adalah masa untuk menadah tangan kepada Ilahi… "Ya Allah! Bantulah Islam dan kaum muslimin, bantulah mereka menghadapi musuh-musuh di mana sahaja mereka berada." Amin.
No comments:
Post a Comment