Tuesday, January 6, 2009

isu palestin (2)

Hamba-hamba ALLAH Yang Gagah Perkasa

Siapakah yang dapat melaksanakan jihad membebaskan Baitul-Maqdis? ALLAH S.W.T telah berfirman: "..Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau; dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku." (Al-Israk: 5)

ALLAH Azza wa Jalla menyifatkan mereka ini sebagai "..hamba-hamba Kami yang kuat gagah" bukan orang-orang yang lemah dan condong mengikut telunjuk Musuh! Menjadikan musuh-musuh ALLAH sebagai teman setia dan pelindung! Bersifat khianat dan mengikut hawa nafsu serta menjauhkan diri daripada jihad!

Hanyalah golongan yang beramal soleh, mendirikan solat, sentiasa memenuhi masjid, membaca al-Quran, berpuasa, beribadat dengan penuh keikhlasan dan ketaatan yang benar-benar mampu melaksanakan kefarduan jihad! Mereka adalah Hamba-hamba ALLAH yang beramal soleh dan gagah perkasa, mereka adalah Mujahidin yang cintakan syahid! Mereka akan membebaskan Masjid al-Aqsa yang mulia, kiblat pertama bagi umat Islam dan tempat berlakunya Israk dan Mikraj Nabi S.A.W!

Larangan Memasuki Masjid al-Aqsa Bagi Golongan Muda

Wahai kaum Muslimin!
Kerajaan Israel begitu takutkan kebangkitan golongan muda di Palestin. Kerana itulah pada hari ini mereka melarang sesiapa yang di bawah umur 40 tahun untuk mengerjakan solat di dalam Masjid al-Aqsa terutamanya pada hari Jumaat. Akhirnya mereka ini terpaksa mendirikan solat Jumaat di jalanan sekitarnya.

Suatu ketika dahulu saya pernah berkhutbah di Masjid al-Aqsa pada solat Jumaat dengan para jemaah yang beratus-ratus ribu orang! Pada hari ini musuh-musuh tidak mahu golongan muda memenuhi masjid-masjid dan hanya membiarkan golongan tua dan tidak berdaya sahaja memasukinya..

Ini kerana sekiranya golongan muda beriltizam dengan Islam, maka itu adalah satu ancaman buat mereka! Orang-orang yang tidak berpegang kuat kepada agama tidak lain hanyalah golongan yang tunduk patuh dan layak untuk diperbodohkan oleh mereka.


Meruntuhkan Masjid al-Aqsa

Masjid al-Aqsa kini sedang diancam oleh kerja-kerja penggalian terowong di bawahnya. Mereka menyangka terdapat Haikal Sulaiman di situ akan tetapi sudah puluhan tahun tiada apa yang dapat ditemui.. sesungguhnya semua ini adalah pembohongan. Tujuan yang sebenarnya ialah untuk melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa yang terletak di tanah yang tinggi. Kini keadaan agak membimbangkan dengan kemungkinan Masjid al-Aqsa akan runtuh dari tempatnya.

Sudah tentulah rakyat Palestin yang tinggal di sekitar kawasan tersebut tidak berdiam diri. Akibat gangguan dan halangan daripada penduduk setempat maka kebiasaannya kerja-kerja penggalian ini dilakukan pada tengah malam. Seringkali berlaku para penduduk melemparkan batu-batu ke arah para pekerja tersebut apabila kedengaran bunyi mesin dan peralatan lain pada tengah malam.

Antara lain tujuan penggalian terowong tersebut adalah untuk memudahkan tentera dan anggota keselamatan Israel melaluinya ketika mengejar dan menangkap rakyat Palestin dan pejuang kanak-kanak yang melempar batu-batu dari atas permukaan Masjid al-Aqsa ke arah tembok tempat golongan Yahudi beribadat. Ini kerana tanpa terowong tersebut jalan yang ada untuk sampai ke dataran atas adalah jauh dan mengambil masa.


Suka dan Duka

Wahai kaum Muslimin!

Bagi saudara-saudara kamu di Palestin, terdapat beberapa perkara yang menyenangkan perasaan dan menggembirakan hati mereka dan juga terdapat beberapa perkara yang begitu menyakitkan dan menyempitkan dada mereka.

Di antara perkara-perkara yang menyenangkan hati mereka ialah bantuan serta sokongan daripada dunia Islam yang mana ini membangkitkan semangat mereka untuk terus melaksanakan perjuangan yang menuntut pengorbanan darah ini. Mereka juga bergembira apabila mendapat tahu bahawa terdapat saudara-saudara mereka di luar bumi Palestin yang terus memberikan sokongan dan mengikuti perkembangan mereka… seperti perhimpunan yang seumpama ini, di mana umat Islam mendengar kisah-kisah perjuangan mereka serta turut sama merasai penderitaan yang menimpa mereka dan sanggup berkorban harta benda yang termampu untuk dihulurkan kepada mereka. Mereka juga merasa bangga dengan meletakkan anak-anak bangsa mereka mempertahankan bumi al-Aqsa seperti pergerakan HAMAS, Jihad Islami… atau apa sahaja bentuk penentangan demi untuk mencapai kemenangan menewaskan golongan penjajah. Mereka akan terus berjuang sekali pun terpaksa mengorbankan nyawa dan darah, mereka bersumpah tidak akan menyerahkan tanah air mereka walaupun sejengkal. Umat Islam di Palestin juga merasa senang hati dengan sokongan dari negara jiran mereka seperti perjuangan Hizbullah di selatan Lubnan yang turut sama menentang musuh mereka iaitu Yahudi Zionis. Perjuangan dan penentangan ini memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kamu di Palestin. Mereka juga merasa gembira dengan bantuan dan sokongan yang berterusan daripada kamu semua iaitu umat Islam dari luar bumi yang dijajah itu.

Manakala perkara-perkara yang begitu membimbangkan hati mereka ialah kemungkinan berlakunya pertembungan di antara dua golongan daripada kalangan anak bangsa mereka sendiri. Sebagaimana yang kamu ketahui, di Palestin terdapat dua kumpulan yang paling besar iaitu golongan Fatah dan golongan HAMAS.

Golongan Fatah inilah yang mahu meneruskan perdamaian dengan kerajaan penjajah (Israel), mengiktiraf kekuasaan dan pendudukan mereka di bumi Palestin. Mereka telah sekian lama tunduk kepada tekanan dan mengikut telunjuk musuh-musuh. Malah mereka juga turut sama memberikan tekanan terhadap para pejuang. Sepanjang tempoh memegang tampuk pemerintahan, telah berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dana. Maka rakyat Palestin sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan mereka, lalu mereka telah memilih kerajaan yang baru iaitu dengan menyokong pergerakan HAMAS dalam pilihanraya yang lalu (2005) sebagaimana yang kamu semua telah ketahui.

Manakala golongan HAMAS pula ialah mereka yang mahu meneruskan perjuangan menentang kuasa penjajahan. Mereka tidak sekali-kali akan mengiktiraf negara Israel dan penguasaan tentera Zionis terhadap tanah air mereka. Mereka akan terus berjuang sehingga terbebasnya Masjid al-Aqsa dan bumi suci Palestin serta menghalau tentera-tentera penceroboh keluar dari tanah air mereka.

Rakyat Palestin juga merasa sungguh sedih dan dukacita terhadap negara-negara Arab yang berada di sekitar negara Palestin apabila mereka ini telah telah melakukan sekatan dan kepungan terhadap rakyat Palestin! Menyekat bantuan-bantuan kewangan daripada dipindahkan melalui bank-bank di negara mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin… mereka melakukan tindakan tersebut sudah tentu mengikut kemahuan musuh-musuh Islam! Bukanlah tentera Amerika itu sendiri yang mengepung bumi Palestin dan melakukan sekatan terhadap kami… akan tetapi negara-negara Arab dan para pemimpin merekalah yang menekan kami!


Harga Yang Perlu Dibayar

Selepas mendapat kemenangan dalam pilihan raya yang lalu (Disember 2005), pergerakan HAMAS telah membentuk kerajaan dan seluruh dunia barat termasuk Amerika dan Eropah memberikan tekanan terhadap kerajaan dan rakyat Palestin. Sehingga para pegawai kerajaan sudah beberapa bulan tidak menerima gaji dan ramai rakyat yang menderita kelaparan. Kerana itulah Dr. Mahmoud Zahar, sebagai Menteri Luar Palestin dan wakil-wakilnya telah pergi ke beberapa buah negara termasuk Malaysia negara kamu ini (didatangi oleh Khaled Ismael al-Hayya, Ketua WHIP Parlimen Palestin) untuk mengumpulkan bantuan-bantuan derma dari seluruh dunia Islam demi membantu rakyat dan kerajaan Palestin yang ditekan dengan sebegitu hebat. Akhirnya bantuan kewangan sekitar USD 20 juta telah dapat dikumpulkan. Akan tetapi wang-wang tersebut tidak dapat ditransaksikan melalui bank-bank dari negara-negara Arab sebagaimana yang telah kamu ketahui. Untuk dibawa masuk melalui sempadan pula, terpaksa menghadapi risiko berhadapan dengan pasukan polis PLO yang sememangnya berpihak kepada Fatah. Maka Dr. Mahmoud Zahar telah menghubungi para pemuda HAMAS untuk memberikan bantuan. Seramai beberapa ribu anggota HAMAS yang lengkap bersenjata telah menuju ke sempadan Palestin di mana Dr. Mahmoud sedang menunggu, ini telah menggerunkan pihak polis dan menghalang mereka daripada melakukan tindakan di luar jangkaan. Mengikut perlembagaan, mana-mana menteri kerajaan tidak boleh dihalang untuk melepasi sempadan. Akhirnya, wang-wang tersebut telah diisikan ke dalam beg-beg dan dibawa masuk secara tunai melalui kenderaan sambil dikawal rapi oleh pasukan bersenjata HAMAS. Walaupun berisiko, ini sahajalah cara yang dapat dilakukan.

Bagi mengelakkan fitnah, bantuan kewangan tersebut telah disalurkan melalui badan-badan zakat kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Ini dilakukan supaya kerajaan HAMAS tidak dituduh melakukan penyelewengan sebagaimana kerajaan yang sebelum ini.

Kedua-dua kumpulan besar ini (Fatah dan HAMAS) memiliki kekuatan masing-masing dari segi bilangan anggota dan kelengkapan senjata. Maka pertembungan di antara kedua-duanya adalah merupakan satu ancaman dan perkara yang sangat bahaya!.. Kerana itulah kami akan berusaha siang dan malam (sedaya-upaya) untuk menyelesaikan pertelingkahan ini. InsyaALLAH!


Penentangan Yang Berterusan

Kaum Muslimin sekalian,
Secara hakikatnya, bangsa Yahudi itu tidak akan berundur dari bumi kami sehinggalah mereka menyembelih mati kesemua rakyat Palestin. Begitu juga rakyat Palestin tidak sekali-kali akan menyerah sehinggalah kami mendapatkan kemerdekaan dan hak-hak kami. Kami telah berjanji kepada ALLAH untuk terus berjuang sehinggalah DIA mendatangkan janji-NYA! Penentangan ini akan berterusan.. sama ada kami mati, bertambah dan berkurang…

Orang-orang yang hanya tahu mencemuh dengan mengatakan perjuangan rakyat Palestin dan kanak-kanak kecil yang membaling batu adalah sia-sia dan tidak akan membuahkan hasil.. tanyalah kepada diri kamu sendiri –senjata apakah yang telah kamu hulurkan kepada kami untuk mempertahankan diri kami daripada serangan musuh?!! Meskipun kami tidak mampu dari segi persenjataan yang lengkap akan tetapi senjata kami yang paling utuh ialah keyakinan dan keimanan kepada ALLAH Azza wa Jalla dan kecintaan untuk mati syahid!

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kamu sekalian kaum muslimin di Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan berkaitan isu Palestin dan saya mewakili saudara-saudara kamu di Palestin berterima kasih sekali lagi atas bantuan-bantuan yang dihulurkan. Saya ingin menyatakan bahawa bantuan ini tidak terhad untuk tempoh tertentu sahaja bahkan perlu dilakukan secara berterusan.. dan tidak terhad dalam bentuk kewangan atau material semata-mata, akan tetapi kamu membantu dengan berdoa kepada ALLAH supaya memberi kemenangan kepada umat Islam di Palestin. Ini adalah lebih bermakna apabila seorang hamba menadah kedua tangan dengan linangan airmata di hadapan TUHAN-nya mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk saudaranya sesama Islam.

Sekian, was-salaamu 'alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh...

No comments: